Tuesday, May 10, 2011

MENGAPA EKSPRES-i?

1) Kami menggunakan kaedah pengecaman sukukata. Menerusi kaedah ini pelajar tidak perlu mengenal huruf atau mengetahui sebutan fonetik. Mereka hanya perlu sebut terus bunyinya. Jadi ia lebih mudah dan sangat menjimatkan masa.

Contoh, untuk membaca sukukata ja, mereka akan melalui satu langkah sahaja iaitu terus membunyikan 'ja'. Jika menggunakan kaedah mengeja atau fonetik, kanak-kanak perlu melalui 3 langkah iaitu pertama, mengenal huruf atau bunyi 'j', kedua, mengenal huruf atau bunyi 'a', dan ketiga mengetahui bahawa huruf atau bunyi 'j' dan 'a' jika bertemu akan menghasilkan bunyi 'ja'.

Untuk itu, kaedah pengecaman sukukata yang kami gunakan terbukti lebih mudah dikuasai oleh kanak-kanak kerana ia dapat menghapuskan beberapa langkah asas tadi.

2) Berapa banyak pola sukukata yang ada dalam Bahasa Melayu? Bayangkan berapa ribu yang perlu diingat oleh seorang kanak-kanak berumur 4 tahun bagi membolehkannya membaca dengan baik ? Sudah tentu dia akan menghadapi kesukaran untuk mengingatinya.

Apatah lagi, jika sekadar mengecam sahaja, dia juga mungkin akan lupa apa yang telah diingatnya. Menerusi EKSPRES-i, kami memperkenalkan teknik imaginasi bagi membantu kanak-kanak mengecam sukukata asas dengan lebih mudah.

Contohnya, untuk mengecam sukukata 'a' maka kami katakan "yang bulat ni macam 'a'wan". Manakala untuk sukukata 'ba', kami katakan "yang ada perut didepan ini macam 'ba'dan. Jadi dengan kiasan tersebut, kanak-kanak ada sesuatu yang boleh membantu ingatan mereka dalam proses pengecaman.

3) Setelah kanak-kanak dapat mengecam sukukata asas dengan baik, kami akan memperkenalkan mereka dengan sukukata-sukukata lain. Kali ini, mereka akan mengecam dengan dibantu oleh teknik lenggok bunyi.

Teknik ini sungguh mudah sama ada untuk memperkenalkan sukukata terbuka, tertutup, diftong atau sukukata yang melibatkan gugusan konsonan. Malah, kanak-kanak juga diajak menyanyi supaya mereka boleh mengecam dengan mudah. Sudah tentu ini akan menyeronokkan proses pembelajaran!

No comments: